<body><script type="text/javascript"> function setAttributeOnload(object, attribute, val) { if(window.addEventListener) { window.addEventListener('load', function(){ object[attribute] = val; }, false); } else { window.attachEvent('onload', function(){ object[attribute] = val; }); } } </script> <div id="navbar-iframe-container"></div> <script type="text/javascript" src="https://apis.google.com/js/platform.js"></script> <script type="text/javascript"> gapi.load("gapi.iframes:gapi.iframes.style.bubble", function() { if (gapi.iframes && gapi.iframes.getContext) { gapi.iframes.getContext().openChild({ url: 'https://www.blogger.com/navbar/6093960681858106304?origin\x3dhttp://notahijrahh.blogspot.com', where: document.getElementById("navbar-iframe-container"), id: "navbar-iframe" }); } }); </script>
HELLO;
Muse
Specs
Way Out
Credits
+ follow Dashboard
Apa itu solat?
Monday, July 15, 20138:00 AM


Bismillahirrahmanirrahim. Marilah kita sama-sama hayati apa itu solat dan kepentingan solat bagi seorang yang bergelar Muslim.

Ibadat solat adalah salah satu daripada rukun Islam yang mesti diamalkan oleh setiap individu Muslim. Ibadat solat itu mempunyai keistimewaannya tersendiri dan diwajibkan secara langsung terus daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW melalui peristiwa Israk dan Mikraj.

Selain itu, ibadat solat ini juga merupakan amalan pertama yang akan disoal kelak di akhirat. Kedudukan suatu amalan baik dan kebajikan bergantung sepenuhnya kepada baik atau buruknya ibadat solat kita. Hadis Nabi Muhammad SAW:

"Perkara pertama sekali dihitung pada hamba pada hari Kiamat adalah solat. Jika solat itu dilakukan dengan baik, maka baiklah keseluruhan amalnya. Jika solat itu rosak dan ada kecacatan, maka akan turut rosak dan cacatlan keseluruhan amalanya."
(Hadis yang direkodkan oleh Nasa'i dan Tirmizi)
Ibadat solat ini memiliki kedudukan yang tertinggi di sisi Allah SWT dimana perkataan solat ini disebut berulang-ulang kali sebanyak sehampir 1000 kali. Kita sebagai seorang Muslim, haruslah berusaha mendekatkan diri kepada Allah melalui ibadat solat. Solat itu merupakan medium kita untuk berhubung dengan Allah SWT, tapi masih ramai yang lalai dan leka, serta ada juga segelintir masih meninggalkan solat walaupun tahu akan wajibnya solat itu ditunaikan.

Antara keistimewaan solat itu sendiri adalah, solat sebagai sumber kejayaan, solat sebagai benteng kejahatan, solat sebagai penawar kesulitan, solat menjamin kemenangan, dan solat sebagai penghapus dosa.

SOLAT SEBAGAI SUMBER KEJAYAAN

Solat merupakan tonggak kejyaan dan sumber inspirasi bahagia kepada orang yang beriman. Kita boleh rujuk surah al-A'la, ayat 14 dan 15 (m/s 591) dimana Allah SWT menegaskan:

"Sesungguhnya beruntunglah bagi orang yang membersihkan diri (dengan beriman). Dan dia mengingati nama Tuhannya lalu dia mendirikan sembahyang."

SOLAT SEBAGAI BENTENG KEJAHATAN

Antara kelebihan utama ibadat solat kepada umat Islam adalah memelihara individu daripada melakukan amalan yang keji dan mungkar. Allah SWT berfirman di dalam surah al-Ankabut ayat 45 (m/s 401) :

"Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan keji dan mungkar). Dan (ketahuilah) mengingati Allah (solat) itu lebih besar (keutamaannya daripada ibadah yang lain.)"

Solat ini mampu menjadi perisai ataupun benteng bagi seorang Muslim. Jikalau kita ini merupakan orang yang bersolat, kita akan mampu menghindari segala perbuatan keji tapi kalau kita masih melakukan perbuatan mungkar, kita kena semak semula solat kita. Mungkin terdapat kecacatan. Masih belum lambat untuk dibaiki. Alangkah ruginya mereka yang meninggalkan solat. Pesanan buat diri, "Aku adalah orang yang solat, adakah patut aku melakukan kemungkaran?"


SOLAT SEBAGAI PENAWAR KESULITAN 

Ibadat solat ini merupakan sumber penawar yang paling mujarab bagi seorang Muslim apabila berdepan dengan kesulitan dan kesukaran. Solat itu bertindak dengan meringankan beban Muslim itu dan seterusnya membantu mengatasi situasi yang genting. Allah SWT berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 45 (m/s 7):

" Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang yang khusyuk."

SOLAT MENJAMIN KEMENANGAN

Ibadat solat adalah antara amalan yang menjamin kemenangan dan juga mendapat sokongan Allah di dunia ini. Allah SWT membantu hambaNya yang taat dan patuh kepada segala perintahNya. Terutama bagi mereka yang menunaikan ibadat solat ini dengan baik. Allah SWT berfirman dalam surah al-Haj, ayat 40 dan 41 (m/s 337) yang bermaksud:

"Sesungguhnya Allah pasti menolong orang yang menolong (agamaNya). Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa. Iaitu orang yang jika kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi, nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh kepada yang baik dan mencegah perbuatan yang jahat dan kepada Allah dikembalikan segala urusan."

SOLAT SEBAGAI PENGHAPUS DOSA

Bersesuaian dengan kedudukan ibadat solat sebagai amalan yang paling baik dan menduduki darjat yang tinggi di sisi Allah, maka ibadat solat ini dapat menghapuskan dosa yang berpunca daripada amalan yang keji dan jahat. Hal ini dapat dilihat jelas dalam surah Hud, ayat 114(m/s 234):

"Dan dirikanlah solat pada dua bahagian siang (pagi dan petang)  dan pada ketika waktu permulaan malam (Maghrib dan Isya'). Sesungguhnya amalan-amalan yang baik itu menghapuskan amalan-amalan yang buruk. Itulah peringatan bagi orang yang selalu mengingati Allah." 

Solat ini tiada pengecualian. Individu Muslim yang sakit tetap diperintahkan mendirikan solat berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Kalau tidak mampu untuk berdiri, boleh dilakukan secara duduk, kalau tidak mampu, boleh secara baring, kalau tidak mampu juga, boleh dilakukan dengan isyarat kepala dan begitulah seterusnya. Betapa pentingnya solat itu, dan wajib ditunaikan tanpa sebarang alasan.

Solat juga tetap dilakukan ketika perang. Umat Islam yang berjihad diperintahkan juga mendirikan solat berdasarkan kemampuan yang sedia ada. Allah SWT mensyariatkan solat di medan perang dengan perjelasan yang panjang lebar di dalam surah al-Nisaa' ayat 102 (m/s 95).

Secara konklusinyanya, jelaslah ibadat solat ini mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Terutama sekali bagi mereka yang sentiasa memelihara solat dan menunaikan solat tepat pada waktunya, Di dalam Al Quran, diterangkan orang yang memelihara solat ini adalah orang yang memilik iman yang kukuh di dalam jiwanya. Bekalan amalan baik yang mengisi seluruh hidupnya dan kebahagiaan sejati yang sentiasa menghiasi setiap detik dan ruang lingkup hidupnya. Sebagai contoh, dalam surah al-Taubah ayat 18 (m/s 189).

Serba sedikit perkongsian pada malam ni, sama-sama kita menambahkan amalan kita di bulan Ramadhan yang mulia ini, dan kekal istiqamah pada bulan seterusnya, InsyaAllah. Assalamualaikum :)